MYC! Malaysian Youth Community

Wayang Pacak Night Return @ UiTM Puncak Perdana! 🎥

UNISINEMA @ UiTM: WAYANG PACAK KEMBALI, CINEMOVE CLUB RAI FILEM MALAYSIA!

MYC

by MYC|

After Class

UNISINEMA @ UiTM: WAYANG PACAK KEMBALI, CINEMOVE CLUB RAI FILEM MALAYSIA!

SHAH ALAM – Unisinema@UiTM menghubungkan masa lalu dan masa kini dalam sinema Malaysia dengan menghidupkan semula hiburan Wayang Pacak, kini dalam bentuk yang lebih moden. Dengan penghormatan kepada warisan budaya negara, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM dan Cinemove Club telah membawa kembali pengalaman pawagam luar ini, yang terkenal dengan penyampaian cerita yang berasaskan komuniti.


Selepas kejayaan Siri Cinemove 1 yang menayangkan filem Mar Rak arahan pengarah terkenal Datuk Ts Jeffry, dan Siri Cinemove 2 yang menampilkan Abnormal: Buas, karya terakhir pengarah tersohor Allahyarham Azhari Zain, siri ini kini diteruskan dengan filem seterusnya: Gold, arahan Adrian Teh terbitan Astro Shaw dan Act 2 Pictures. Tayangan Gold yang akan datang ini menjanjikan pengalaman menonton yang menarik bagi para pelajar, mengukuhkan lagi komitmen Unisinema@UiTM dalam menghargai sinema Malaysia dan pembikin filem yang berpengaruh.


Di bawah tema "Suara Tanpa Batas", Cinemove Club bertekad meraikan suara-suara yang melangkaui batasan, mengangkat nilai inklusiviti dan kekuatan ekspresi. Tahun ini, kami berbesar hati menjemput tetamu istimewa daripada Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat, Selangor dan Wilayah Persekutuan (PPOC) untuk menyaksikan tayangan percruma dan secara eksklusif filem Gold di UiTM Kampus Puncak Perdana pada 18 Januari 2025 jam 8 malam dan para penonton dari luar dijemput hadir. Filem yang penuh inspirasi ini selari dengan hasrat kami untuk memperkasakan kisah-kisah yang mencerminkan kekuatan, ketabahan, dan kejayaan semangat insan. Melalui platform ini, Cinemove Club komited untuk merapatkan jurang, mencetuskan dialog bermakna, dan memastikan setiap suara dihargai serta diraikan tanpa batasan.


Unisinema@UiTM bukan sahaja bertujuan mendekatkan pelajar kepada warisan sinema Malaysia tetapi juga memberi persiapan kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Produksi Filem (CAFF 237) bagi latihan industri mereka pada semester akan datang. Inisiatif ini, yang dibangunkan dengan kerjasama Astro Shaw dan Act 2 Pictures Sdn. Bhd., memberikan peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman praktikal menggunakan alat dan teknik pengeluaran standard industri, menggabungkan sinema klasik dengan teknologi canggih.


Penasihat Kelab Cinemove dan Pensyarah Encik Azlan Syah Rashid, menekankan peranan Unisinema@UiTM di dalam memperluaskan pendedahan Pengurusan Pengedaran dan Pemameran Filem kepada para pelajar khususnya kepada industri perfileman Malaysia, dengan menyediakan tayangan di kampus UiTM melalui Wayang Pacak. Presiden Kelab, Haleyson Roland, turut menyuarakan bahawa Cinemove Club pada kali ini bukan sahaja merealisasikan objektifnya sebagai platform kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk mempelajari proses dalam pembuatan serta mempromosikan filem, malah ia juga menjadi perantara kepada mereka untuk lebih peka dengan isu-isu yang berlaku dalam kelompok masyarakat kini.

Hal ini akan menjadikan mereka lebih matang, kreatif, dan inovatif dalam memahami selok-belok industri perfileman.Pengarah Projek, Nur Syuhada menyatakan dengan adanya cinemove, ianya memiliki berbagai kelebihan yang menjadikan platform unggul dalam industri kreatif khususnya di bidang filem.
Oleh itu, cinemove kali ini kembali dengan membawa kelainan yang mendalam iaitu dengan tema OKU (Orang kurang upaya). Melalui lensa sinema, hasrat kami ingin membuka mata dan hati, menyuarakan kisah-kisah yang sering terabaikan serta menunjukkan keindahan dalam kekuatan, perjuangan dan keberanian sesuai dengan pembawakan filem untuk Cinemove Club kali ini

.
Untuk rekod, Pengajian Seni Liberal, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) akan terus berusaha dalam memastikan penghasilan graduan seimbang yang kompetitif di peringkat nasional dan global serta memperkasa jaringan strategik dengan alumni dan industri, seterusnya dapat menyerlahkan potensi pelajar, tenaga kerja dan mampu bersaing di masa hadapan. Kemahiran insaniah seumpama ini adalah satu esensi bagi pelajar Pengajian Seni Liberal agar bakat mereka diasah dengan sebaiknya dalam memastikan kelestarian kualiti graduan KPSK, sejajar dengan Pelan Strategik UiTM 2025 ke arah Globally Renowned University 2025.


Untuk maklumat lanjut mengenai Unisinema@UiTM, sila hubungi Dini Batrisyia di talian 013-302 6629 atau layari laman Instagram rasmi kami di @fita.cinemove.club